SUNGAI PETANI – Perasaan gelisah seorang anak apabila terpaksa menunggu ibunya selama lebih sejam terjawab selepas dimaklumkan insan kesayangannya itu maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Bukit Kechil, Tikam Batu dekat sini kelmarin.
Menurut Siti Rohmah Hayati,15, dia tidak senang duduk apabila ibunya, Habakhozah Azmi, 46, masih tidak kelihatan untuk menjemputnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu.
“Kebiasannya ibu akan datang awal untuk menjemput saya pulang tetapi tengah hari kelmarin, kelibatnya tidak kelihatan.
“Ketika menunggu lebih satu jam itu saya tidak senang duduk memikirkan kemungkinan yang berlaku kepada ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perlis, Simpor dekat sini hari ini.
Katanya, dia hanya mengetahui ibunya telah tiada akibat dirempuh kereta selepas dimaklumkan ibu saudaranya, Faezah Azmi, 50, yang datang menjemputnya di sekolah kira-kira pukul 3 petang.
“Kami kehilangan seorang ibu yang penyayany dan sangat menitikberatkan tentang pelajaran,” ujarnya.
Kosmo Online pada semalam melaporkan mangsa, Habakhozah maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang
dalam kejadian langgar lari di Jalan Bukit Kechil, Tikam Batu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu, Habakhozah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala. – KOSMO! ONLINE