KUALA LUMPUR – Terengganu kekal menjadi destinasi pilihan pelabur setelah berjaya menarik jumlah pelaburan RM2.3 bilion dari 2017 sehingga Jun lalu, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.
Jelasnya, ia meliputi 29 projek dalam sektor pembuatan dan membantu mencipta lebih daripada 1,727 peluang pekerjaan bagi penduduk.
“Ia melibatkan bidang produk petroleum, kimia, mineral bukan metalik, perkayuan dan peralatan serta mesin.
“Lebih daripada separuh daripada jumlah pelaburan ini, iaitu sebanyak RM1.27 bilion adalah dari sumber asing,” katanya pada program Siri Pelaburan MIDA berhubung peluang pelaburan di Terengganu yang diadakan di sini hari ini.
Terengganu kini memiliki 25 taman perindustrian meliputi kawasan seluas 4,158 hektar, selain terletak di salah satu laluan maritim paling utama.
Keterhubungannya yang baik turut disokong akses kepada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal siap pada 2026 dan Lebuhraya Pantai Timur yang membantu mempromosikan pertumbuhan ekonomi Terengganu.
Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenalpasti kluster fokus untuk mencipta industry inovatif dan lestari, termasuk pelancongan, pembuatan, minyak dan gas, bioteknologi, komunikasi, kandungan dan infrastruktur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, Terengganu telah merekodkan kemajuan besar baru-baru ini menerusi Taman Biopolimer Kerteh, iaitu hab Wilayah Ekonomi Pantai Timur untuk bio-ekonomi dan kimia khas seluas lebih 140 hektar.
“Kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 telah diambil sepenuhnya, manakala Fasa 3 telah dibuka tahun lalu untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur.
“Setakat ini, jumlah pelaburan terkumpul di Taman Biopolimer Kerteh telah meningkat kepada RM 5.6 bilion, dengan lebih 5,000 pekerjaan diwujudkan untuk rakyat Terengganu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE