SEREMBAN – Sebuah tapak pembinaan kilang perabot di Bandar Baru Enstek, Nilai di sini dikenakan notis selepas dikesan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh membawa wabak denggi.
Tindakan itu diambil susulan operasi mengejut yang dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata, dalam operasi yang bermula pukul 9.30 pagi pemeriksaan oleh pegawai penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menemui jentik-jentik di kawasan tempat tinggal pekerja dan pengumpulan sampah.
“Sampel jentik-jentik itu akan dihantar ke makmal untuk ujian, Berdasarkan pemeriksaan, kita mendapati kawasan tempat tinggal pekerja dan pengumpulan sampah di tapak pembinaan itu menjadi tempat pembiakan aedes yang dipercayai berpunca daripada plastik sampah yang menakung air, kon penghadang yang bocor dan besen air.
“Justeru, satu notis di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Veerapan berkata, tapak pembinaan kilang perabot tersebut akan diperiksa semula selepas tujuh hari bagi memastikan syarikat penyelenggaraan mematuhi notis yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, Veerapan berkata, pemeriksaan oleh CIDB mendapati pihak kontraktor turut dikesan menyediakan pekerja asing tidak mahir yang dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti kerja.
“Perkara itu melanggar Akta 520 iaitu pekerja tiada Kad Personel Binaan CIDB dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP).
“Kompaun boleh diberikan kepada syarikat atau individu berkenaan, jika gagal bayar mereka boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE