Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan sebanyak 78,000 keping tiket perlawanan akhir Piala FA 2022 melibatkan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dijual dengan harga bermula RM50 hingga RM200 sekeping.
Semua tiket tersebut akan dijual dalam masa terdekat sehingga hari perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, senarai harga tiket final Piala FA tahun ini dikekalkan seperti perlawanan akhir tahun lepas bermula dengan General Admission yang berharga RM50 dan RM70, Premium Granstand RM150 serta satu kategori baru VIP Grandstand RM200.
“MFL telah menetapkan empat ‘tier’ harga tiket bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 yang mana MFL masih mengekalkan harga General Admission RM50 dan RM70 serta Premium Grandstand RM150 meskipun saban tahun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran.
“Bagaimanapun bagi kali ini, MFL memperkenalkan tiket VIP Grandstand yang berharga RM200. Empat ‘tier’ tiket ini bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong-penyokong untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan final itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu juga bakal menyerahkan urusan jualan tiket yang telah diperuntukan kepada pihak pengurusan JDT dan TFC untuk dijual kepada penyokong masing-masing.
“Ini adalah bagi memastikan tiket yang dijual dapat dibeli oleh penyokong pasukan finalis secara sama rata dan adil.
“Maklumat lanjut mengenai proses jualan tiket kepada penyokong akan dimaklumkan oleh pihak TFC dan JDT dalam masa terdekat,” katanya.
Pasukan Harimau Selatan berjaya meloloskan diri ke final selepas menewaskan Melaka United 2-1, manakala TFC pula mara dengan menyingkirkan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir awal bulan ini. – KOSMO! ONLINE