fbpx

Russia ancam perang nuklear terhadap Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Russia tidak teragak-agak menggunakan senjata nuklear sekiranya perlu. – EPA

MOSCOW – Russia mengeluarkan amaran perang nuklear terhadap Barat dan berikrar untuk mempersiapkan pusat  perlindungan bom nuklear susulan insiden pembunuhan anak perempuan sekutu rapat Presiden Vladimir Putin pada Ahad lalu, lapor akhbar The Sun.

Timbalan Duma (Parlimen)   yang juga  bekas timbalan Komander daerah tentera selatan Russia, Andrey Gurulyov mengeluarkan ancaman tersebut  selepas letupan bom memusnahkan kenderaan pacuan empat roda kereta dipandu oleh mangsa, Darya Dugina.

“Kita kini berperang dengan Amerika Syarikat dan Britain. Sekiranya askar Britain berada di wilayah Ukraine, peperangan ini tidak akan terhad di Ukraine.

“Ia sebaliknya akan berlaku di segenap penjuru merangkumi angkasa lepas, udara, laut dan darat termasuk di wilayah Britain serta Russia,” katanya.

Bagaimanapun, Gurulyov mengaku  terdapat kekurangan dari segi kesiapsiagaan Moscow lantas  mendesak supaya langkah segera diambil untuk memperkukuh pertahanan awam kubu perlindungan bom.

“Tidak lama lagi, tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan ditempatkan di mana-mana sahaja. Kita perlu bersiap sedia hari ini untuk melindungi populasi serta industri Russia,” ujarnya.

Gurulyov selain itu turut menggesa agar doktrin nuklear Russia dirombak serta percaya bahawa ‘era keamanan’ telah sampai ke penghujungnya.

“Senjata nuklear boleh digunakan sekiranya perlu. Tempoh keamanan telah tiba ke penghujungnya. Ia telah berakhir,” tegas  Gurulyov.

Sementara itu, Olga Skabeeva yang merupakan pengacara rancangan televisyen tempatan, 60 Minutes turut menuduh Barat dan Ukraine sebagai ‘menyalakan api’ perang nuklear.

“Ukraine bersama-sama pengendalinya (Barat) bersiap sedia dengan keganasan nuklear serta perang terhadap Russia.

“Perkhidmatan risikan Ukraine dan Barat cuba melakukan keganasan ke atas rakyat Russia, namun mereka gagal,” ujarnya.

Dalam pada itu, pakar ketenteraan, Igor Korotchenko menuduh Britain menjadi sebahagian daripada perancang komplot pembunuhan Dugina.

“Serangan pengganas yang membunuh Dugina merupakan operasi ketenteraan bersama oleh tiga perkhidmatan khas dari Ukraine, Estonia dan Britain,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI