fbpx

RM2.3 bilion ganti paip lama dan naik taraf LRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Zaini Mohd Bokhari (kanan) menyampaikan bantuan wang tunai kepada penduduk yang memerlukan sempena program tanggungjawab sosial korporat di Kampung Lubuk Kulit, di Lipis.

LIPIS – Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) memperuntukkan sebanyak RM2.3 bilion untuk melaksanakan sebanyak 217 projek menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) dan menggantikan paip lama bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh lima tahun sekaligus mampu mengatasi masalah gangguan air bersih.

“Paip pecah, tekanan rendah, banjir, kerosakan loji, gangguan di muka sauk ketika kemarau, kapasiti tangki antara punca utama dikenalpasti oleh Paip yang menyebabkan masalah gangguan air dan kita sedang berusaha membaikpulih secara berperingkat.

“Komitmen Paip juga sejajar dengan hasrat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa mengambil berat serta memberikan keutamaan penyelesaian masalah air di negeri ini,”katanya pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Paip di Kampung Lubuk Kulit di sini hari ini.

Menurut Saiful Zaini, projek tersebut merupakan pelan holistik di bawah kerajaan negeri melibatkan kerja membaikpulih serta menaiktaraf LRA, menukar paip lama yang berusia lebih 50 tahun, kerja kejuruteraan di muka sauk loji, pembinaan tangki, penggantian peralatan dan sebagainya.

Jelasnya Paip memberi jaminan mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih sebanyak 90 peratus menjelang lima tahun akan datang apabila kesemua projek di kawasan yang dikenal pasti (masalah bekalan air) di setiap daerah itu siap sepenuhnya.

“Sehingga awal tahun ini sebanyak enam buah projek menaiktaraf LRA, naik taraf peralatan mekanikal dan elektrikal, pemasangan pam dan kabel di muka sauk di Lipis, Jerantut, Temerloh, Raub, Karak, Kuantan, Bera dan Pekan telah pun siap manakala enam buah lagi dijadualkan siap pada penghujung tahun ini membabitkan peruntukan kesemuanya bernilai RM12 juta,

“Sebanyak 34 buah projek akan bermula penghujung tahun ini, manakala selebihnya dalam peringkat reka bentuk untuk pelaksanaan menjelang tempoh tersebut,”katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Paip memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk projek menaiktaraf LRA di Bukit Betong, Jelai di sini dan penggantian paip lama untuk kemudahan bekalan air ke Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik, Kampung Sungai Ular dan Kampung Sungai Padi yang melibatkan sebanyak 3,724 akaun pengguna.

Jelasnya Paip amat memahami ketidakselesaan penduduk di beberapa kawasan terkesan seterusnya memberi keutamaan melaksanakan projek membaikpulih serta menaiktaraf di kawasan berkenaan.

“Saya berharap penduduk di kawasan terlibat masalah bekalan air supaya memberikan kami (Paip) masa untuk merangka pelan projek dan kerja menaiktaraf LRA termasuk penggantian paip lama dengan lebih cepat dalam tempoh tersebut.

“Menerusi projek penambahbaikkan fasiliti dan juga pengurusan bekalan yang lebih efisyen, masalah bekalan air bersih di negeri ini akan selesai tidak lama lagi malahan kurang daripada tempoh jangkaan tersebut,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI