KUALA LUMPUR – Pemimpin wanita perlu berusaha untuk mendapatkan perwakilan yang lebih besar sekali gus meningkatkan penglibatan wanita dalam membuat keputusan negara.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, suara wanita adalah suara yang harus dihormati dan mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara.
“Meskipun wanita mewakili 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di dunia, namun penglibatan wanita di peringkat kementerian (Malaysia) masih berada di tahap yang rendah.
“Oleh itu, di sinilah mengapa anda perlu menuntut (untuk perwakilan wanita yang lebih besar dalam proses membuat keputusan dan penggubalan dasar negara),” titahnya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) di sini hari ini.
Tunku Azizah bertitah, selain memperkasakan wanita, pihak kerajaan juga diseru agar mendengar suara wanita demi memperjuangkan hak mereka.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan kesemua wanita agar dapat memainkan peranan sebagai pendamai.
“Daripada rumah kita hingga ke seluruh negara, wanita perlu memainkan peranan dalam memulihkan keamanan apabila berlaku ‘kacau-bilau’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE