PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Abdul Razak hilang kelayakan sebagai bekas Perdana Menteri termasuk pencen dan elaun selepas beliau gagal dalam rayuan akhir kes penyelewengan SRC International Sdn. Bhd.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keistimewaan Najib sebagai Ahli Parlimen juga turut terbatal selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.
Katanya, di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, mana-mana individu yang hilang kelayakan sekiranya disabitkan bersalah dan dihukum penjara.
“Bagaimanapun keistimewaan itu boleh dinikmati semula sekiranya Najib mendapat pengampunan diraja yang dipohon oleh ahli keluarganya,” katanya semalam.
Kelmarin Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff memberitahu, Najib akan hilang kerusi Ahli Parlimen Pekan sekiranya tidak memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 14 hari.
Berita berkaitan: Najib gagal rayuan akhir, penjara 12 tahun, denda RM210 juta
“Sekiranya waris Najib membuat permohonan maka kerusi itu kekal miliknya sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berpandangan, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen Pekan berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 semakin dekat.
Bagaimanapun, katanya, UMNO dilihat seolah-olah kurang ikon ‘warlord’ yang menyerang pembangkang dengan efektif di media sosial selepas Najib dimasukkan ke penjara.
“Dalam media sosial paling efektif menyerang pembangkang adalah Najib, pemimpin UMNO lain tidak pandai gunakan media sosial, ini memberikan impak negatif kepada parti Melayu itu.
“Sungguhpun begitu, tidak perlu orang lain gantinya, mereka perlukan pengaruh Najib menarik penyokong,” ujarnya.