fbpx

NGO Gabung harap cuti Jumaat, Sabtu di Johor kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaini (tiga dari kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung cuti hujung minggu di negeri ini.

JOHOR BAHRU – Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) berharap agar cuti mingguan di negeri ini akan dikekalkan pada Jumaat dan Sabtu dan tidak ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Presiden Gabung, Zaini Atan berkata, cuti mingguan sedia ada dilihat sebagai menghormati hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari selain mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri.

Katanya, ia secara tidak langsung memudahkan umat Islam khususnya lelaki untuk keluar menunaikan solat Jumaat.

“Jika cuti pada Sabtu dan Ahad, umat Islam akan terkejar-kejar terutamanya bagi kakitangan kerajaan yang bekerja separuh hari pada Jumaat.

“Selain itu, cuti mingguan seperti sekarang ini memberikan kelebihan kepada ekonomi di negeri ini. Orang kita akan berbelanja pada Jumaat dan Sabtu manakala orang Singapura pula berbelanja pada Ahad, ada tiga hari untuk merancakkan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Melodies di sini hari ini.

Sementara itu, Zaini berkata, pihak Gabung bagaimanapun menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Ibrahim membuat keputusan, sama ada ia ditukar semula atau kekal, kita akan akur dengan sebarang keputusan baginda

Jelasnya, keputusan Sultan Ibrahim itu nanti tidak akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak sebaliknya semua perlu akur dengan keputusan tersebut.

Pada Januari 2014, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, mengembalikan semula cuti hujung minggu yang telah dilaksanakan di Johor sejak sekian lama.

Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ketika pentadbirannya melaksanakan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994.

Kelmarin, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri itu kepada Sabtu dan Ahad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI