PETALING JAYA – Rutin harian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Penjara Kajang kini berubah tidak seperti dahulu sekali gus beliau perlu menyesuaikan diri menjalani kehidupan baharu.
Berkongsi kisah di Instagram malam tadi, Nooryana Najwa berkata, bapanya dalam keadaan sihat malah, masih kuat semangat dalam meneruskan perjuangan.
“Hari ini (semalam) wakil daripada barisan peguam dapat bertemu daddy di Penjara Kajang. Alhamdulillah, daddy dalam keadaan sihat dan semangat perjuangan daddy masih kuat.
“Keperluan asas daddy juga telah diberikan dan daddy sedang membiasakan diri dengan rutin baharu. Berbeza dengan jadual harian bossku yang sentiasa padat,” katanya.
Dalam pada itu, Nooryana Najwa berkata, keluarganya akan bertemu Najib hari ini di mahkamah untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan daddy, walaupun dari jauh.
“Terima kasih kami ucapkan kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang kerana ambil berat keadaan daddy.
“Kami sangat hargai keprihatinan mereka. Sekian saja perkembangan daripada saya dan keluarga. Jaga diri baik-baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE