KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan berada di Penjara Kajang dan setakat ini tidak menerima arahan untuk dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.
Pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar berkata, setakat ini hanya peguam sahaja datang melawat Ahli Parlimen Pekan itu di Penjara Kajang.
Tambahnya, hari ini juga adalah hari pertama bagi Najib bertemu keluarga di Mahkamah selepas dimasukkan ke dalam Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Lutfi memaklumkan dia tidak mengetahui bila bekas Perdana Menteri itu akan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.
“Setakat ini Najib akan berada di Kajang,” katanya ringkas ketika ditemui.
Sementara itu, kira-kira 20 orang penyokong Najib melaungkan “bosku” dan “lawan tetap lawan” di luar pintu masuk Mahkamah Kuala Lumpur mengiringi bekas Perdana Menteri keluar sekitar pukul 4.20 petang.
Bekas Perdana Menteri itu meninggalkan kompleks Mahkamah sambil melambai tangan dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi anggota polis. – KOSMO ONLINE!