fbpx

Mahkamah: 1MDB langgar prosedur tidak salur cadangan kepada MKD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, bahawa Syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melanggar prosedur dengan tidak menyalurkan cadangan berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebelum membuat keputusan.

Jelasnya, cadangan pelaburan itu, sepatutnya perlu diberikan kepada menteri terlibat dan perlu dibentangkan kepada Parlimen.

Menjawab soalan peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa, 63, berkata sepanjang pengetahuannya pelanggaran proses itu berlaku sejak penubuhan syarikat itu sehingga beliau bersara pada 2019.

Jelas saksi ke-26 pendakwaan itu, beliau kemudian telah mengemukakan aduan mengenai perkara berkenaan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, namun tiada tindakan yang diambil.

Ketika disoal Muhammad Shafee sama ada beliau memberitahu Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga menteri kewangan ketika itu mengenainya, Siti Zauyah menjawab, “saya tidak tahu”.

Sebelum ini dalam ucapan pembukaan pada Ogos 2019, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion.

Ia kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang berkenaan adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama yang mana PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai diragukan.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, usaha sama itu tidak dijalankan dengan PSI, sebaliknya melalui syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd. dan Tariq Obaid (kenalan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

Dalam pada itu, saksi itu turut memberitahu bahawa permintaan MKD untuk mendapatkan dokumen yang tidak lengkap daripada syarikat 1MDB, tidak pernah dilayan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO).

Siti Zauyah berkata pihaknya beberapa kali meminta dokumen berkenaan daripada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, antaranya  Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) syarikat pelaburan strategik negara itu.

Menjawab soalan peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mencadangkan tindakan yang tidak melayan permintaan MKD sebagai kurang ajar, Siti Zauyah berkata ia adalah suatu tindakan kurang hormat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi 5 September ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI