TAIPING – Gambar tular menunjukkan sebilah pisau tertancap di bahagian kanan dada seorang lelaki manakala beberapa individu lain melecur di muka dan anggota tubuh badan merupakan sebahagian daripada latihan simulasi kebakaran yang diadakan di kantin Hospital Taiping di sini semalam.
Gambar-gambar simulasi yang tular di beberapa platform media sosial seperti WhatsApp dan Facebook dengan berbagai tajuk dikongsi netizen semalam mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Mohd. Mustafa Kamal Ismail berkata, latihan kebakaran anjuran Hospital Taiping yang julung kali diadakan pada tahun ini tersebut telah mencapai objektifnya.
“Suasana latihan simulasi yang diadakan semalam seolah-olah kelihatan benar-benar berlaku.
“Solekan pelakon-pelakon yang terbabit dalam latihan ini juga kelihatan benar hingga foto-foto latihan simulasi ini tular dengan berbagai tajuk penyampaian yang tidak tepat di medium media sosial hingga mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Hospital Taiping hari ini.
Menurutnya, aksi latihan yang diadakan semalam adalah bagi menggambarkan berlakunya letupan di sebuah bangunan kantin hospital.
“Biasanya benda-benda tajam dan alatan berbahaya akan terkena mangsa yang ada dalam kawasan kejadian ketika letupan terjadi. Itulah yang kita gambarkan dalam latihan simulasi semalam dan bukannya aksi pergaduhan sebagaimana yang telah ditularkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang gambar-gambar aksi yang telah tular, pihak pengurusan Hospital Taiping berharap agar orang ramai memeriksa fakta dan kejadian sebenar sebelum menyebarkan berita yang tidak sahih. – KOSMO! ONLINE