AKSI sukar menanti beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun hari ini apabila dijadualkan bertemu jaguh Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Atas kertas, wakil Eropah itu dianggap memiliki kelebihan ke atas Soon Huat-Shevon apabila memiliki rekod pertemuan lebih baik kerana pernah mencatat dua kemenangan daripada tiga perlawanan sebelum ini.
Shevon tanpa berselindung mengakui beregu No.9 dunia itu merupakan lawan sukar biarpun pernah menang sekali sebelum ini selain menganggap dia dan Soon Huat perlu membuat perancangan rapi untuk pertemuan hari ini.
“Bagi aksi esok (hari ini), memang kami akan bertemu lawan sukar walaupun pernah menang dan kalah dengan mereka sebelum ini. Kami perlu melakukan persediaan terbaik untuk menentang mereka.
“Kita tunggu dan lihat dulu bagaimana keadaan esok tetapi kami perlu buat persediaan awal dari segi perancangan dan strategi permainan.
Apabila masuk gelanggang, kita tengok semula apa perancangan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Metropolitan Tokyo semalam, Soon Huat-Shevon tidak berdepan masalah menyingkirkan wakil England, Gregory Mairs-Jenny Moore menerusi keputusan 21-13, 21-18.
Memandangkan aksi semalam merupakan perlawanan sulung mereka pada Kejohanan Dunia selepas mendapat bye di pusingan pertama, Shevon menjelaskan, mereka masih sedang menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.
“Permainan hari ini (semalam) masih baik kerana kami sedang menyesuaikan diri gelanggang. Secara keseluruhan, ia permulaan yang baik walaupun saya bermain sedikit gementar,” ujarnya.