fbpx

Kementerian Kewangan nafi dakwaan Belanjawan 2023 dipercepatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahar menyaksikankan pertukaran dokumen perjanjian antara Rosihan Zain Baharudin (dua dari kiri) dan Zulfiqar Zainudin (dua dari kanan) di Common Ground Iskandar Space, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kementerian Kewangan menafikan spekulasi berhubung desakan sesetengah pihak bahawa pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan kepada bulan depan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pengumuman bajet itu akan dibuat mengikut jadual asal kalendar Parlimen yang akan dibentangkan pada 28 Oktober ini.

“Seperti ditetapkan, Bajet 2023 akan dibentangkan pada 28 Oktober ini seperti yang direkodkan pada takwim Dewan Rakyat.

“Saya tidak menerima sebarang maklumat Bajet 2023 akan disegerakan bulan depan. Apa yang saya tahu, tarikh pembentangan bajet akan kekal seperti dijadualkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama membangunkan sukan dron antara Futurise Sdn. Bhd. dengan Iskandar Investment Berhad (IIB) di Medini, di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan wujud desakan supaya pembentangan Belanjawan 2023 disegerakan pada bulan depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 17 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan memohon pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas pembentangan Bajet 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan menafikan dakwaan dan spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan bulan depan.

Pada 7 Ogos lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan menolak desas desus kononnya pembentangan Belanjawan 2023 akan dipercepatkan dan menyifatkan spekulasi yang tersebar hanyalah spekulasi semata-mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI