ROM, ITALI – Sembilan penumpang dan kru berjaya diselamatkan kelmarin apabila sebuah kapal layar mewah tenggelam di perairan selatan Itali, lapor agensi berita United Press International.
Kapal layar sepanjang 40 meter dinamakan My Saga itu dipercayai menghadapi masalah ketika cuaca buruk.
Berdasarkan rakaman video yang dirakam pasukan Pengawal Pantai Itali, kapal mewah itu terumbang-ambing semasa laut bergelora dekat wilayah Calabria sebelum karam.
Satu daripada dua bot rondaan di kawasan tersebut berjaya menyelamatkan seorang kru dan empat penumpang, manakala sebuah bot tunda menyelamatkan empat kru yang lain selepas itu.
Mereka dibawa ke lokasi selamat di Catanzaro Marine.
My Saga bagaimanapun tenggelam dan tidak dapat ditunda ke pesisir pantai berikutan cuaca buruk.
Rakaman video menunjukkan buritan kapal layar itu tenggelam terlebih dahulu sebelum bahagian hadapannya karam.
Dibina di Itali pada 2007, kapal layar mewah itu digunakan di laut selama 15 tahun, demikian menurut laman berita Super Yacht Times.
Ketika pelayaran terakhirnya, ia memulakan perjalanan dari Gallipoli menuju ke Milazzo apabila kapten kapal menghubungi Pihak Berkuasa Pelabuhan Crotone bagi meminta bantuan.
Menurutnya, air laut memasuki kapal tersebut melalui bahagian buritan dengan pantas.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca kemalangan tersebut. – Agensi