BANGKOK – Seorang gelandangan menjadi perhatian netizen apabila mengubah kaki lima sebuah jejambat pejalan kaki menjadi bilik tidurnya di wilayah tengah Thailand, Ayutthaya, lapor laman berita Thaiger, semalam.
Perkara tersebut didedahkan seorang pengguna TikTok yang kemudian menyebabkan ‘kediaman’ tersebut dimusnahkan pihak berkuasa.
Bilik itu dilengkapi dengan katil yang diperbuat daripada bekas polisterin putih bersama bantal dan langsir untuk melindungi gelandangan tersebut daripada cahaya matahari.
Cawan plastik juga disediakan sebagai persiapan sekiranya ada orang ingin memberi wang kepada gelandangan itu untuk membeli makanan.
Sebilangan netizen yang tinggal berhampiran jejambat itu berkata, mereka berasa janggal kerana berasa seperti berjalan di dalam rumah seseorang.
Seorang pegawai dari Daerah Lebuhraya Ayutthaya, Thawat Changtham, memberitahu media bahawa pegawai polis memusnahkan ‘bilik’ itu bagi menyediakan ruang yang bersih dan selamat untuk pejalan kaki. – Agensi