LONDON – Bekas bintang Manchester United, Roy Keane merasakan kualiti ketika bertahan dan pertelingkahan di atas padang menjadi dua aspek yang perlu dipandang serius oleh Liverpool musim ini.
Berdasarkan tujuh aksi terakhir Liga Perdana Inggeris termasuk tiga perlawanan musim ini, prestasi benteng pertahanan Liverpool menimbulkan persoalan apabila mereka kerap membenarkan pasukan lawan memperoleh jaringan terlebih dahulu.
“Jika saya Jurgen Klopp, saya akan berasa bimbang dan fikir Virgil Van Dijk mampu lakukan lebih baik. Kita juga dapat lihat pertengkarannya dengan James Milner.
“Memang situasi ini boleh berlaku, tetapi ia kelihatan sudah melebihi daripada kebiasaan,” katanya.
Setakat tiga aksi awal, Liverpool sudah pun melepaskan lima gol dan jumlah itu cukup berbeza berbanding apa yang pernah dipamerkan pada permulaan musim lalu, hanya bolos sekali.
Ketika insiden pertelingkahan itu, Milner secara terang-terangan mengkritik Van Dijk kerana gagal melakukan halangan kepada Jadon Sancho yang meledak gol pertama United.
Bagaimanapun, Klopp sebelum ini menepis segala khabar angin yang mengatakan hubungan kedua-dua pemain itu mula retak.
Sementara itu, Andy Robertson juga turut merungut yang Liverpool gagal menghadirkan permainan sebenar dan menyifatkan situasi sekarang memberikan permulaan sukar buat pasukan.
“Kami tidak boleh lagi ketinggalan terlebih dahulu. Hanya meraih dua daripada sembilan mata awal bukan permulaan yang kami mahukan dan kami perlu ambil tanggungjawab ini secara kolektif,” ujarnya. – AGENSI