LONDON – Bekas pemain tengah Manchester United, Bastian Schweinsteiger mengkritik cara permainan bekas kelabnya itu biarpun mereka berjaya meraih kemenangan ke atas Liverpool 2-1 pada aksi kelmarin.
Gol yang dihasilkan Jadon Sancho dan Marcus Rashford menyaksikan United berjaya mencatat kemenangan pertama musim ini selepas berdepan dua kekalahan sebelum ini, namun Schweinsteiger mengakui bahawa Liverpool adalah pasukan yang lebih baik pada aksi tersebut.
Schweinsteiger yang pernah membuat 35 penampilan ketika menyertai United pada 2015 hingga 2017 selepas berhijrah dari Bayern Munich mengakui tidak tertarik dengan gaya permainan ditampilkan oleh skuad kendalian Erik Ten Hag itu.
“Sudah tentu saya memberikan sokongan kepada United dan gembira apabila mereka berjaya meraih kemenangan, tetapi adakah itu persembahan terbaik yang mampu mereka berikan?
“Kalau dibandingkan dengan pasukan gergasi di Eropah yang lain, saya akan katakan ia tidak. Bagi saya, Liverpool beraksi lebih baik pada perlawanan itu, mereka lebih menguasai perlawanan berbanding United.
“Cuma mereka bernasib baik untuk meraih dua gol,” katanya.
Bagaimanapun, Schweinsteiger mengakui masih ada beberapa elemen positif yang mula dipamerkan United pada perlawanan itu biarpun tidak begitu tertarik dengan cara dan taktikal yang digunakan.
“Pada perlawanan itu, perkara positif yang kita boleh nampak dipamerkan oleh United adalah mereka turun dengan sikap yang betul dan semangat yang luar biasa. Saya fikir para penyokong berpuas hati dengan aksi yang diberikan kerana ia benar-benar berbeza berbanding dua perlawanan sebelum ini,” jelasnya. – AGENSI