fbpx

Dugong pupus di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dugong suatu masa dahulu disangka sebagai ikan duyung oleh pelaut. - AFP

BEIJING – Dugong iaitu haiwan mamalia yang suatu masa dahulu disangka sebagai ikan duyung oleh pelaut, kini diisytiharkan pupus di China, lapor laman berita MailOnline kelmarin.

Kajian baharu menunjukkan bilangan dugong di China berkurangan secara mendadak dari tahun 1970-an dan ke atas, manakala tiada rekod atau bukti kewujudan dugong ditemui sejak tahun 2008.

Haiwan itu terancam di seluruh dunia akibat aktiviti seperti menangkap ikan, dilanggar kapal dan kehilangan habitat disebabkan tangan manusia.

Saintis-saintis daripada Persatuan Zoologi London (ZSL) dan Akademi Sains China melakukan kajian dan meneliti data sejarah untuk sampai kepada  kesimpulan  menyedihkan tersebut.

Penulis bersama kajian mengenainya, Profesor Samuel Turvey berkata, kehilangan dugong di China merupakan kerugian yang amat besar.

“Kehilangan dugong menjadi tanda amaran bahawa kepupusan boleh berlaku sebelum langkah pemuliharaan efektif dapat dibangunkan,” katanya.

Dugong yang  dikenali sebagai lembu laut, merupakan satu-satunya mamalia marin herbivor. Ia boleh membesar sehingga panjang 3 meter dan makanan utamanya adalah  rumput laut. 

Haiwan itu diketahui wujud di selatan China sejak beratus-ratus tahun dahulu tetapi ia turut ditemui di perairan dari Afrika Timur hingga Vanuatu, malah jauh ke utara sehingga barat daya kepulauan Jepun.

Bagaimanapun, dugong terancam di seluruh dunia dan disenaraikan kepada terdedah kepada kepupusan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN).

Haiwan gergasi jinak itu juga diklasifikasikan sebagai Haiwan Dilindungi  Utama Nasional  Gred 1 oleh Majlis Negara China iaitu perlindungan tertinggi oleh negara komunis itu.

Bagi menganalisis status konservasi dugong, kaji selidik haiwan itu dilakukan di 66 komuniti nelayan di wilayah Hainan, Guangxi, Guangdong dan Fujian.  – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI