PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam dilancarkan, koleksi tudung terbaharu pelakon dan usahawan terkenal Wawa Zainal iaitu Wawa Scarve habis terjual sebanyak 90,000 helai dengan anggaran pendapatan RM2.5 juta.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, ini adalah bukti sokongan pelanggan setianya selain menyifatkan itu adalah rezeki daripada Allah.
“Alhamdulillah, untuk keluaran kumpulan pertama (first batch) ini habis terjual. Tipu kalau cakap tak meletakkan sasaran dan harapan tinggi, tapi apabila benar-benar terjadi memang bersyukur sangat.
“Pada mulanya buat 20,000 helai, lepas itu 50,000 hingga mencecah 90,000 dan habis terjual. Insya-Allah kita akan keluarkan lagi,” katanya.
Menurut Wawa yang juga isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu, bisnes kecil-kecilan yang diusahakannya itu dapat membantu ekonomi peniaga kecil serta hasil pendapatan boleh disumbangkan kepada golongan memerlukan.
“Saya percaya dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain juga. Itu saya cuba tanam dalam diri dan perniagaan ini.
“Kalau kita dapat bantu mereka yang memerlukan, insya-Allah rezeki itu akan sentiasa ada.
“Sejujurnya, saya seronok melihat ada ramai lagi orang Melayu kita yang mula mencipta kejayaan atas usaha dan kerja keras mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE