fbpx

8 diberkas bantu siasatan seleweng pindah milik tanah Kejora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang terlibat dalam penyelewengan pindah milik tanah Kejora di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Tindakan jahat tujuh lembaga pengarah koperasi dan pegawai pejabat tanah melakukan pindah milik tanah milik Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) sejak 35 tahun lalu membawa padah apabila mereka diberkas dalam lapan siri serbuan di Johor Bahru, Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam Ops Pekaka yang dijalankan, semua lelaki tempatan berusia 46 hingga 75 tahun yang ditahan adalah Ahli Lembaga Pengarah Koperasi dan pegawai pejabat tanah yang bertanggungjawab ketika transaksi pindah milik dilakukan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penyelewengan itu membabitkan tanah seluas lebih 1,699 hektar (4,200 ekar) di Kluang.

Jelasnya, polis mula menjalankan siasatan kes itu selepas menerima satu laporan polis pada Januari lalu daripada seorang penolong pegawai tanah sebuah agensi badan berkanun milik sebuah kementerian yang mendakwa tiga lot tanah berkeluasan lebih 1,699 hektar milik agensi berkenaan dipindah milik tanpa kebenaran.

Katanya, tanah bernilai pasaran lebih RM100 juta di daerah Kluang itu dipindah milik kepada sebuah syarikat persendirian tanpa pengetahuan dan kebenaran agensi itu.

“Tiga lot tanah yang terbabit dalam kes ini adalah tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada 1987 dengan nilai RM1.47 juta.

“Tanah itu kemudian dipajak kepada sebuah koperasi pada 1994 yang mana koperasi itu kini sudah dibubarkan.

“Kita percaya dalam tempoh pembubaran itu, berlakunya perkara yang menyebabkan tanah dipindah milik kepada individu lain dengan nilai melebihi RM100 juta.

“Urusan pindah milik itu hanya dikesan berlaku pada pertengahan tahun lalu dan semakan mendapati tanah itu kini diusahakan sebagai ladang kelapa sawit,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Menurut Kamarul Zaman, sepanjang tempoh siasatan dijalankan, seramai 28 saksi terdiri daripada pengarah syarikat, setiausaha, peguam, pelikuidasi, pegawai Pejabat Tanah dan Galian negeri serta pegawai agensi badan berkanun turur dipanggil memberi keterangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, semua suspek diberikan jaminan polis selama sebulan sementara pihaknya menyiapkan kertas siasatan dan kemudian menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI