SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan disyaki dilarikan seorang wanita dari sebuah kediaman di daerah ini tular dalam media sosial sejak malam tadi.
Pemilik Facebook yang menggunakan nama Shone Azmi memuat naik satu hantaran mengenai kehilangan anak saudaranya berusia sembilan bulan bersama beberapa keping gambar dan video kejadian pada pukul 10.27 malam tadi.
Bagaimanapun, empat jam kemudian pemilik akaun tersebut sekali lagi memaklumkan tentang penemuan kanak-kanak terbabit, namun tidak menyatakan lokasi mangsa ditemui.
Hantaran tentang kehilangan kanak-kanak itu mendapat 26 perkongsian, 18 komen dan 40 reaksi setakat petang ini.
Kosmo! difahamkan, polis telah menahan wanita tersebut di Bukit Mertajam lewat malam tadi sekali gus berjaya menemui semula kanak-kanak itu.
Polis Pulau Pinang dijangka memberi kenyataan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat. KOSMO! ONLINE