JAKARTA – Polis Bali menahan tiga pekerja kedai minuman teh boba kerana disyaki mengedar dadah jenis kristal di sekitar Denpasar, lapor portal berita Coconuts kelmarin.
Tiga suspek tersebut yang dikenali sebagai DA, MR dan ADN dikatakan ‘bertukar kerjaya’ dengan menjual minuman boba pada waktu siang dan mengedar dadah pada malam hari.
Mereka diberkas oleh anggota yang meronda di hadapan sebuah balai polis pada 14 Ogos lalu selepas DA dan MR menunjukkan tingkah laku mencurigakan.
Ketika disoal siasat, polis menemui tujuh bungkusan dadah di dalam poket DA.
“Selepas disoal siasat, mereka mengaku mengedar dadah tersebut di beberapa lokasi berbeza dan akan mengedarkan tujuh lagi bungkusan,” kata Ketua Polis Denpasar, I Made Hendra Agustina.
Ketika menggeledah rumah kongsi mereka, polis kemudian menemui 51.7 gram dadah kristal dan suspek ketiga, ADN turut berada di situ.
Premis itu juga menempatkan dua bong, pemetik api gas, penimbang digital dan tiga ikat beg plastik.
“Suspek-suspek tersebut menjual air minuman boba setiap hari, disebabkan itu kami menemui pelbagai jenis air berperisa di rumah mereka.
“Setakat ini, tiada bukti menunjukkan bahawa dadah-dadah tersebut dicampur ke dalam minuman,” kata I Made.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek membentuk satu pasukan untuk menjalankan perniagaan haram mereka.
“DA dan MR bertugas sebagai pengedar manakala ADN berada di rumah untuk menerima tempahan.
“Mereka tidak mengenali tokan dadah tersebut dan menerima wang sebanyak 50,000 rupiah (RM15.12) bagi setiap bungkusan dadah yang dijual,” kata I Made. – Agensi