KOTA TINGGI – Berpantang maut sebelum ajal.
Demikian yang berlaku ke atas seorang penunggang motosikal apabila terjatuh sebelum terperosok ke bawah lori dalam kejadian di kilometer 29.0, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 18 tahun bagaimanapun hanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menerusi laman sosial selepas ia tular yang mana kemalangan melibatkan dua buah motosikal dengan sebuah lori membawa muatan tar.
“Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang dua lelaki itu jatuh atas jalan, seorang penunggang motosikal masuk ke laluan bertentangan dan terseret lalu terkena tayar sebuah lori dari arah bertentangan.
“Akibatnya, penunggang itu mengalami luka-luka dan melecet di tangan akibat terlanggar tayar lori yang berhenti untuk mengelak kemalangan tersebut.
“Seorang lagi penunggang tidak cedera. Kedua-dua penunggang mendapat rawatan di klinik Bandar Penawar sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan dengan baik. Hujan renyai, keadaan jalan juga basah dan licin menyebabkan ia berbahaya kepada pengguna jalan raya.” katanya.-KOSMO! ONLINE