AKTRES cantik Indonesia, Ranty Maria berkongsi pengalaman seram apabila mendakwa kerap ditindih makhluk halus ketika sedang tidur.
Pelakon berusia 23 tahun itu dalam temu bual menerusi saluran YouTube SRAH Official memberitahu, dia akan mengalami peristiwa ditindih makhluk halus jika tertidur dalam keadaan belum mandi.
“Saya kerap ditindih oleh mahkluk halus ketika tidur. Apa yang saya perasan, saya akan mengalami gangguan itu jika tertidur dalam keadaan belum mandi.
“Saya juga akan melalui hal sama jika tertidur dalam keadaan terlalu letih. Saya berasa seperti ditindih ‘sesuatu’,” ujarnya.
Kata pelakon filem 4 Mantan itu lagi, setiap kali ditindih, dia berasa sukar untuk menggerakkan tubuhnya dan tidak boleh menjerit untuk meminta tolong.
“Saya hanya mampu menangis kerana tidak dapat menggerakkan tubuh dan sukar untuk menjerit meminta tolong.
“Ada waktunya, ketika ditindih saya tidak sendirian. Bahkan adik saya ada di sebelah sedang bermain telefon bimbit. Namun dia tidak sedar saya sedang bergelut untuk lepaskan diri,” katanya.