AMPANG – Seorang mekanik tergamak mengugut bunuh bekas teman wanita kerana mangsa enggan meneruskan hubungan cinta bersama lelaki berkenaan dalam kejadian di Taman Ukay Bistari, di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek untuk menuntut ganti rugi.
“Mangsa telah menuntut ganji rugi perbelanjaan semasa bercinta sebanyak RM700 sebelum lelaki terbabit menolak mangsa dan mengacu dua jenis pisau berlainan mengugut akan membunuh mangsa kerana enggan meneruskan hubungan bersama suspek.
“Suspek juga turut merampas telefon bimbit remaja perempuan itu dan menghempas ke lantai mengakibatkan telefon mangsa rosak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai mekanik pada pukul 10.30 malam tadi.
“Kita juga turut merampas sebatang cota, dua bilah pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian.
“Reman akan dipohon hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.