BOISE, IDAHO – Seorang lelaki di negeri Idaho, Amerika Syarikat mencatat namanya dalam buku Guinness World Records apabila meniup 10 biji belon dalam masa satu minit menggunakan hidung, lapor akhbar New York Post kelmarin.
David Rush yang dikenali kerana kerap melakukan cubaan memecah rekod dunia itu turut mengikat kesemua belon dalam masa yang ditetapkan.
“Saya berasa amat hebat. Sebanyak 10 belon ditiup dalam masa satu minit menggunakan hidung saya,” katanya.
Rush dilaporkan pernah cuba melakukan rekod serupa kira-kira lima tahun lalu namun, keadaan kesihatan termasuk selesema, alahan serta beberapa faktor lain menghalangnya daripada mengatasi rekod sebelum ini iaitu sembilan biji belon.
Setakat ini, Rush mencatat hampir 250 Guinness World Records termasuk ‘juggler’ terpantas dan paling perlahan di dunia.
Menerusi cubaan terbaharu tersebut, dia mengalahkan Ashrita Furman yang memegang Guinness World Record sebagai individu paling banyak mencipta rekod sambil berdiri. Furman juga telah mencipta lebih 700 rekod sejak 1979.
Rush kini berusaha untuk melakukan cubaan memecah satu rekod dunia pada setiap minggu dalam usaha untuk mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta ‘kuasa untuk memiliki minda yang berkembang’. – Agensi