REMBAU – Tindakan seorang lelaki yang datang beraya dalam keadaan bogel mengundang padah apabila dia didenda RM3,500 atas pertuduhan menceroboh rumah penduduk lain di Mahkamah Majistret Rembau di sini semalam.
Mohd. Effandi Abdul Rhasid, 36, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah sengaja menceroboh ke dalam rumah penduduk pada pukul 8.30 pagi di Kampung Minching Baru di sini Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu telah keluar rumah untuk ke surau pada pukul 6.15 pagi dengan membiarkan pintu utama tidak berkunci.
Selepas solat subuh, pengadu telah pulang dan dimaklumkan oleh anaknya terdapat seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam bilik pengadu dalam keadaan bogel.
Pengadu kemudian telah bertanya kepada lelaki tersebut mengapa masuk ke dalam biliknya dan lelaki itu menjawab ‘nak jalan raya’.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.