BRUSSELS – Kemarau teruk yang melanda kawasan luas di Eropah menjadi ‘semakin buruk’, manakala walaupun hujan bersama ribut petir membantu meredakan situasi di beberapa wilayah, fenomena cuaca itu turut mencetuskan kerosakan sendiri , kata penyelidik-penyelidik Kesatuan Eropah(EU) dalam satu laporan kelmarin.
Analisis bulanan terkini Balai Cerap Kemarau Global (GDO) mengetengahkan risiko berterusan kekeringan selepas gelombang haba berturut-turut melanda sejak Mei lalu diikuti oleh ‘ketandusan’ hujan.
GDO mengekalkan amaran yang dikeluarkan bersama laporan sebelum ini bahawa hampir separuh rantau EU berdepan risiko kemarau. Menurutnya, banyak sungai menjadi sempit, manakala sumber air yang semakin berkurang menjejaskan penjanaan tenaga di loji-loji hidroelektrik di samping mengurangkan tanaman.
“Kemarau teruk yang menjejaskan banyak rantau di Eropah sejak awal tahun ini kini semakin meluas dan menjadi bertambah buruk setakat awal bulan ini,” kata laporan itu, yang diterbitkan oleh Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah.
Peningkatan ‘bahaya kemarau’ diramalkan untuk sebahagian besar Itali, Sepanyol, Portugal, Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Ireland, Luxembourg, Romania dan Hungary, serta negara bukan EU iaitu Britain, Serbia, Ukraine dan Moldova.
Secara keseluruhan menurut GDO, sekitar 17 peratus kawasan di Eropah kini berada dalam kategori amaran merah, lebih tinggi berbanding 11 peratus pada bulan Julai lalu.
Dalam pada itu, penurunan paras air sungai dan tasik di seluruh Benua Eropah akibat fenomena gelombang haba membawa kepada penemuan sebilangan ‘khazanah’ lama yang timbul di permukaan air.
Menurut akhbar Metro UK, antara artifak yang ditemui adalah batu berukir digelar ‘batu kelaparan’ yang diletakkan pada garisan air di sebilangan sungai generasi terdahulu.
Kemunculan batu tersebut memberi amaran bahawa paras air sungai menurun amat drastik dan menimbulkan risiko krisis kebuluran.
Pada musim kemarau kali ini, batu itu dapat dilihat di tebing Sungai Elbe yang mengalir dari Republik Czech ke Jerman.
Selain itu, gelombang haba turut menyebabkan air di Sungai Danube surut dan mendedahkan bangkai kapal semasa era Perang Dunia Kedua yang masih berisi sejumlah bahan letupan.
Di Sepanyol pula, satu bulatan batu yang dipercayai berasal dari tahun 500 Sebelum Masihi muncul di kawasan takungan air Valdecanas yang dalam.
Dinamakan secara rasmi sebagai Dolmen of Guadalperal, namun digelar Stonehenge Sepanyol, artifak itu muncul semula untuk kali keempat sejak kejadian banjir pada 1963.
Di satu kawasan lain yang juga di Sepanyol, sebuah perkampungan yang tenggelam juga muncul semula.
Pekan Aceredo itu tenggelam pada 1992 bagi memberi laluan kepada pembinaan kawasan takungan air. Namun, disebabkan gelombang haba yang buruk tahun ini, sebilangan bangunan kini muncul di permukaan air.
Sementara itu, di Britain, sisa-sisa dusun Baitings muncul semula apabila gelombang haba menyebabkan paras air di kolam takungan Yorkshire merosot. Dusun itu tenggelam pada tahun 1950-an.
Kawasan perkampungan kecil itu turut terdiri daripada jambatan kuno yang berasal dari era penjajahan Viking di Britain, berabad-abad lamanya. – Agensi