LUMUT – Frigat KD Lekiu memulakan misi pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 selama 86 hari melibatkan empat siri eksesais bermula semalam sehingga 17 November depan.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal yang diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Mohd. Reduan Ayob itu akan terlibat dalam satu eksesais multilateral, dua eksesais bilateral dan satu eksesais TLDM.
“Penglibatan KD Lekiu dalam empat siri eksesais secara berterusan semasa pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 ini membuktikan ketersediaan dan kebolehoperasian aset
pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga di tahap yang tertinggi.
“Selain itu, ia mempamerkan komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa seiring angkatan laut di peringkat global melalui kerjasama serantau,” katanya semalam.
Majlis Pelepasan Tali KD Lekiu sempena misi pelayaran itu disempurnakan oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di Pangkalan TLDM di sini.
KD Lekiu yang memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) dijadualkan untuk kembali ke TPL pada 17 November depan selepas menempuhi empat eksesais yang
dirancang iaitu Eks Malindo Jaya 26/22, Eks Kakadu 2022, Eks Kerismas 2022 dan Eks Malapura 30/22.
Menurut kenyataan itu, eksesais pertama yang akan disertai adalah Eks Malindo Jaya 26/22 di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bagi memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama.
“Sebanyak dua aset utama TLDM yang akan terlibat iaitu KD Lekiu dan KD Sri Indera Sakti di samping aset sokongan yang lain,” katanya.
Menurutnya, Eks Kakadu 2022 pula merupakan eksesais multilateral yang melibatkan angkatan laut dari
pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar di Darwin, Australia.
“Ia merupakan latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia. Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE