fbpx

JKN mohon maaf, tiga kali tunda pembedahan pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hospital Kulim

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menjelaskan pihaknya terpaksa menunda tarikh pembedahan seorang pesakit yang mengalami masalah ketulan pada bahu sebanyak tiga kali bagi memberi laluan kepada kes lebih serius dan perlu diberi keutamaan.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang viral di Facebook pada semalam yang bertajuk Hospital Kulim memang makin menjadi-jadi sekarang.

Katanya, aduan tersebut berkaitan penundaan pembedahan seorang pesakit di hospital berkenaan sebanyak tiga kali.

“Merujuk kepada aduan itu, Jabatan Kesihatan negeri telah melakukan siasatan segera dan siasatan awal mendapati ia mengenai seorang pesakit lelaki yang mengalami masalah ketulan pada bahu.

“Nama pesakit telah dimasukkan dalam senarai pembedahan elektif di hospital tersebut, namun ditunda beberapa kali bagi memberi laluan kepada kes-kes yang memerlukan pembedahan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihak pengurusan hospital kemudian menghubungi pengadu melalui telefon dan menerangkan situasi sebenar dan individu terbabit dapat menerima penjelasan dengan baik, seterusnya bersetuju memadam hantaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Othman berkata, Hospital Kulim adalah sebuah hospital berpakar major yang mempunyai tiga bilik bedah.

“Dalam tempoh pemulihan perkhidmatan sekarang, kes-kes yang memerlukan pembedahan segera dan kecemasan seperti berkaitan trauma, kanser dan pembedahan caesarean serta kes-kes tertangguh dalam tempoh pandemik lalu akan diberi keutamaan berbanding kes lain.

“Jabatan Kesihatan negeri mengakui kesulitan dihadapi pesakit akibat penundaan pembedahan berkenaan dan memohon maaf kepada pesakit dan keluarganya berikutan masalah yang terjadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI