PETALING JAYA – Disifatkan wanita kuat namun bekas penyanyi juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina tetap gagal menahan sebak dan menitiskan air mata tanpa henti semasa menjayakan sebuah forum keagamaan dan kemanusiaan baru-baru ini.
Aksi Mizz Nina nama lengkapnya Shazrina Azman, 42, yang berdialog sambil mengesat air matanya dikongsikan menerusi akaun TikTok @ejust4u turut meruntun emosi dan menjentik perasaan netizen.
Rata-rata netizen juga mengakui cukup tersentuh dan pertama kali melihat wanita yang selama ini disifatkan cekal dan tabah itu menitiskan air mata.
Dalam ucapannya, Mizz Nina becakap tentang perancangan hidup yang telah diatur oleh Allah SWT terhadap setiap hambanya serta perubahan hidup wanita yang kehilangan suami.
“Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk kita. Tiada apa yang berlaku tanpa sebab,” katanya.
Dalam nada suara yang kedengaran tersekat-sekat dan linangan air mata, turut kelihatan seorang wanita berjubah hitam dipercayai moderator untuk program tersebut menghulurkan tisu kepada bekas isteri Noh Hujan itu.
Difahamkan, video berkenaan dirakamkan ketika Mizz Nina dijemput menjadi tetamu persidangan Spiritual Summit 2022 anjuran Safinah Institute yang berlangsung pada 21 Ogos lalu.
Mizz Nina membuat perkongsian bertajuk ‘A Heart of Stone: The Case of a Hardened Heart and its Cure’,
Meninjau dalam ruangan komen, ramai netizen turut sama merasai perasaan yang ditanggung oleh bekas penyanyi itu dengan ujian yang dilaluinya.
Malah, netizen turut mendakwa pertama kali melihat Mizz Nina bersedih sedemikian rupa.
“Pertama kali tengok dia (Mizz Nina) menangis. Ya Allah, hadiahkanlah dia syurga mu. Amin,” pinta seorang pengguna TikTok.
“Bila kita pilih untuk dekat dengan Allah, ujian memang selalu bertimpa-timpa,” kata seorang lagi netizen.
“Dia memang wanita hebat. Daripada sebelum berkahwin sehinggalah dia berpisah (bercerai),” kata seorang lagi netizen.
Awal bulan ini, Nina dan Noh Salleh mengumumkan perceraian mereka selepas 11 tahun melayari alam berumah tangga.
Pasangan itu membuat keputusan untuk berpisah selepas mempertimbangkan banyak aspek sebelum akhirnya bercerai secara baik.
Beberapa minggu sebelum terjadinya perceraian tersebut, berlegar khabar angin tentang keretakan rumah tangga mereka termasuklah, skandal video seks Noh bersama seorang wanita. – KOSMO! ONLINE