GEORGE TOWN – Seramai 17 individu yang sedang leka menyertai aktiviti perjudian jenis belangkas ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Air Itam, di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi Op Dadu yang dijalankan pada pukul 5.30 petang itu telah menahan sembilan lelaki serta lapan wanita termasuk seorang warga asing.
Menurutnya, menerusi serbuan tersebut, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM30,316 dipercayai hasil kegiatan daripada aktiviti tersebut.
”Suspek yang ditahan berusia 34 hingga 77 tahun dan siasatan juga mendapati seorang daripada lelaki yang ditahan disyaki penganjur kegiatan perjudian tersebut.
“Dia juga dipercayai baharu sahaja menjadikan premis tersebut sebagai tempat berjudi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Turut dirampas adalah peralatan yang digunakan untuk bermain judi jenis belangkas beserta wang tunai dipercayai hasil kegiatan perjudian tersebut.
“Kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Pemeriksaan juga mendapati wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan turut disiasat mengikut Seksyen 6 ( 3 ) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya. KOSMO! ONLINE