HELSINKI, FINLAND – Sebilangan wanita dari seluruh dunia memuat naik video di laman sosial yang memaparkan aksi mereka sedang menari sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri Finland, Sanna Marin, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Situasi itu berlaku selepas Marin terjerumus ke dalam kontroversi berikutan rakaman video yang memaparkan beliau sedang berparti pada minggu lalu.
Klip video kontroversi itu memaparkan Marin, 36, sedang menari bersama rakan-rakannya di sebuah lokasi persendirian.
Susulan pendedahan itu, ahli-ahli politik pembangkang menyelar Marin dengan alasan, kelakuan beliau tidak wajar untuk seorang yang bergelar Perdana Menteri.
Bagaimanapun, ramai wanita mempertahankan tindakan Marin. Mereka memuat naik video tarian masing-masing bersama tanda pagar #solidaritywithsanna.
“Tiada apa yang dapat menghalang Ratu Tarian (Marin),” kata seorang pengguna Twitter.
Beberapa tokoh politik memberi sokongan kepada Marin dan menuduh pengkritik beliau sebagai ‘pilih bulu’.
“Mengapa beliau tidak boleh berparti selepas bekerja? Adakah kita mengharapkan pemimpin tidak boleh menjadi manusia biasa?” kata profesor Kajian Keamanan dan Konflik di Universiti Uppsala, Ashok Swain.
Seorang ahli politik Sepanyol, Iratxe Garcia Perez turut menyatakan solidariti kepada Marin menerusi komennya di laman Twitter.
“Amat mengejutkan! Seorang ahli politik muda yang melakukan tugas dan menikmati kehidupan peribadinya. Mengapa seorang wanita muda tidak boleh berseronok? Saya tidak boleh menerima sikap berat sebelah terhadap jantina,” katanya. – Agensi