fbpx

Video tular: Lelaki diikat tali rupanya mabuk, cederakan diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar seorang lelaki warga asing yang berikat tangan dan kaki dengan tali dalam sebuah rumah tular sejak pagi semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ditahan polis selepas bertindak mencederakan dirinya di sebuah rumah di Desa Indah , Persiaran Paya Terubong 2, Taman Sri Relau di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita yang memaklumkan berlaku pergaduhan di tempat kejadian pada pukul 1.57 petang.

“Bertindak atas maklumat tersebut, anggota ronda Balai Polis Sungai Nibong telah ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga asing dalam keadaan berikat dan berlumuran darah.

“Hasil temubual awal anggota polis terhadap rakan serumah lelaki itu memberitahu bahawa rakan mereka (suspek) berada dalam keadaan mabuk yang teruk dan hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Terdahulu tular video di media sosial yang memaparkan kejadian seorang individu dipercayai warga asing dalam keadaan kaki dan tangan berikat tali manakala lantai rumah berlumuran darah di sebuah rumah sewa.

Menurut Soffian, lelaki itu juga telah mencederakan diri sendiri dengan menghantuk kepala ke dinding sehingga mengalami kecederaan.

“Bagi mengelakkan lelaki ini terus bertindak agresif, rakan serumahnya telah mengikat lelaki ini dengan menggunakan tali.

“Pihak polis telah cuba untuk menenangkannya serta menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan tiada kecederaan lain selain pihaknya meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI