MAE Klong Railway Market yang terletak di Wilayah Samut Songkhram dianggap sebagai salah satu tarikan di Thailand. Pasar tempatan itu terletak kira-kira satu jam perjalanan dari pusat bandar Bangkok.
Pasar Mae Klong yang dibuka sejak 100 tahun lalu turut mendapat jolokan Pasar Tarik Payung (Hoop Rom Market) dan Pasar Membahayakan Hidup (Siang Tai Market).
Peniaga yang juga rakyat tempatan menjual pelbagai barangan seperti buah, sayuran, daging, makanan laut selain kafe-kafe yang terdapat di deretan kiri dan kanan landasan kereta api.
Keterujaan sebenar adalah apabila kereta api melalui di tengah-tengah pasar tersebut. Pelancong dan peniaga kemudiannya berdiri di belakang ‘garisan merah’ atas faktor keselamatan. Menjadi satu kemestian untuk merakam gambar dan video suasana di situ.
Apa yang menarik perhatian penulis adalah peranan yang dimainkan peniaga-peniaga di pasar unik tersebut.
Memberikan ‘arahan’ sudut gambar bagaimana yang menarik, menerangkan waktu ketibaan kereta api, malah ada ‘mak cik’ berusia di pasar tersebut skil merakam gambar pelancong dengan sangat baik.
Setiap hari lapan kali kereta api melalui pasar itu. Penulis percaya berdasarkan situasi itu kemahiran multitasking menyebabkan peniaganya ‘berevolusi’. Mereka juga mesra pelancong.
Mereka faham faktor ‘keterujaan’ pelancong ke kawasan itu menjadi sumber rezeki, sekali gus bergelar ‘duta kecil’ pelancongan.
Kaji selidik dijalankan Randstad mendapati, kira-kira 50 peratus pekerja di Malaysia berusia 25 hingga 34 tahun tidak bimbang berhenti kerja jika tidak gembira di pejabat.
Situasi ini amat membimbangkan. Seolah-olah dalam kepala generasi millenium tidak percaya kepada terma kerja tetap atau sistem bermajikan.
Orang muda seawal usia 18 tahun kini boleh menceburi ekonomi gig. Antara alasannya adalah lebih bebas kerana waktu kerja yang lebih fleksibel dan anjal.
Menurut laman web Statista, nilai pasaran segmen ekonomi gig adalah AS$1.8 bilion (RM8.06 bilion) pada 2021. Malaysia berada di tangga kelima negara-negara di Asia Tenggara.
Indonesia tertinggi dengan AS$6.9 bilion (RM30.89 bilion), diikuti Singapura (RM15.22 bilion), Vietnam (RM10.74 bilion) dan Thailand (RM8.95 bilion).
Manusia adalah makhluk hidup. Dalam kelangsungan hidup perlu melakukan penyesuaian lingkungan seperti yang dilihat di Mae Klong Railway Market.
Tidak salah rakyat Malaysia menentukan masa depan masing-masing mengikut penyesuaian terhadap cabaran dihadapi, namun negara ini juga bakal kehilangan tenaga kerja profesional jika semua ‘terjun’ ke dalam ekonomi gig.