BENTONG – Penduduk tempatan di Flat Taman Benus Jaya di sini bimbang dengan dominasi warga asing yang mengotorkan kediaman terbabit sehingga ada segelintir mereka menyembelih kambing di koridor baru-baru ini.
Selain itu, warga asing terbabit juga menjadikan rumah kosong di flat berkenaan sebagai tempat membuang sampah, malah turut membuang botol arak merata-rata.
Flat itu dibuka pada 1992 itu dan mempunyai 192 buah rumah dengan hanya 104 berpenghuni yang mana 58 rumah dihuni warga asing, manakala 46 dihuni oleh warga tempatan.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati, warga asing majoritinya adalah dari negara Nepal dan Myanmar diikuti warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan.
Selain itu, kawasan flat yang tidak mempunyai kawasan riadah dan taman permainan itu menjadi tempat longgokan botol-botol arak, manakala kawasan tangga flat juga kotor.
Seorang penduduk Rosfadzli Saleh,42, berkata, sikap dan budaya warga asing yang dibawa ke situ khususnya dalam aspek kebersihan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.
“Walaupun tiada lagi kes mereka memukul penduduk tempatan, namun tindakan mereka seperti membuang sampah di rumah-rumah kosong menjejaskan kebersihan dan baru-baru ini menyebabkan berlakunya kebakaran.
“Tindakan mereka yang sembelih kambing di koridor flat sebelum ini juga buat penduduk tempatan tak senang kerana ia bukan sahaja menjejaskan aspek kebersihan, malah dianggap sebagai ganas dan kejam,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya telah membuat aduan kepada pihak berwajib mengenai isu tersebut, termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis serta berharap isu ini dapat diatasi segera.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Mohamad Sharafi Shafie,43, berkata, tindakan warga asing yang minum minuman keras di kawasan itu memberikan imej dan budaya tidak baik khususnya kepada generasi muda.
“Sebelum ini ada yang membaling botol ke bawah menyebabkan kaca pecah, ini sudah tentu membahayakan penduduk khususnya kanak-kanak yang bermain di bawah flat dan dibimbangi mereka yang minum arak hingga hilang pertimbangan,” katanya.
Dalam pada itu Penghulu Mukim Bentong, Mohd. Khairun Abdullah berkata, imej flat berkenaan sebagai ‘flat warga asing’ perlu diubah dan satu transformasi perlu dilakukan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
“Sebelum ini apabila lalu di sini, saya tidak nampak warga tempatan, warga asing sahaja yang ada. Botol-botol juga dibuang bersepah,”katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Benus, Zaharah Ismail berkata, dalam usaha mengatasi pelbagai isu di flat berkenaan, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mentransformasikan flat berkenaan.
Ujarnya, jawatankuasa itu akan mengadakan gotong royong dan program bagi menjaga keselamatan dan kebersihan flat berkenaan secara berterusan, sekali gus menceriakan kembali penempatan berkenaan.