fbpx

Sambut merdeka macam rai hari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli membetulkan bendera yang dipasang di bumbung rumahnya dengan dibantu oleh isteri, Sukeina.

YAN – Setiap hari sejak awal bulan lalu, seorang pesara tentera nekad menyimpan wang belanja harian untuk membeli Jalur Gemilang bagi menghias rumahnya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Rosli Mohamad, 52, berkata, wang yang dikumpul sedikit demi sedikit itu membolehkan dia membeli 100 bendera pelbagai saiz bagi menyerikan pekarangan rumahnya.

“Saya tak mampu nak beli (Jalur Gemilang) banyak sekali gus ke­rana pendapatan tidak seberapa sebagai tukang kebun.

“Jadi wang saku yang saya bawa untuk belanja di tempat kerja disimpan sedikit. Jika ada wang lebih dan mencukupi saya gunakan untuk membeli ben­dera sehingga jumlahnya kini mencapai 100 helai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid di sini baru-baru ini.

Rosli tidak pernah ketinggalan menghiasi pekarangan rumahnya dengan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan ketika ditemui di Jalan Masjid, Yan, Kedah baru-baru ini.

Menurut Rosli, sejak 10 tahun lalu, setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, dia dan isterinya, Sukeina Abu Bakar, 53, tidak melepaskan peluang untuk menghias rumah mereka dengan Jalur Gemilang kerana semangat cintakan negara.

“Kalau tak hias rumah de­ngan bendera sebelum sambutan Hari Kemerdekaan terasa kehidupan kami seperti tidak lengkap dan rumah juga seakan-akan ‘kosong’.

“Biarlah kami tinggal di dalam rumah usang sekurang-kurang apabila dihiasi dengan Jalur Gemilang rasa meriah juga,” ujarnya.

Tambah lelaki itu, semangat patriotik mungkin kerana dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera selama berpuluh tahun sebelum ini.

“Walaupun sudah bersara kira-kira 10 tahun lalu, tetapi bagi menunjukkan rasa cintakan negara, saya tidak lupa untuk me­nyambutnya dengan cara tersendiri setiap tahun,” katanya.

Bercerita lanjut, Rosli membe­ritahu, dia juga tidak kisah apabila terpaksa mencari bendera sehingga ke Alor Setar apabila Jalur Gemilang yang dijual di daerah ini kehabisan stok.

“Bendera sekarang sudah naik harga lebih mahal dalam RM1 ke RM2 sehelai, tetapi tak apalah setahun sekali sahaja kita menyambut Hari Merdeka.

“Bagi kami sekeluarga, me­nyambut Bulan Kemerdekaan dan Hari Kemerdekaan ini boleh diibaratkan seperti mahu sambut Hari Raya Aidilfitri.

“Semangat itu sama saya tanam­kan juga di dalam hati anak,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI