PASIR PUTEH – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan telah membantu seramai 1,249 petani di 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Kelantan yang terjejas akibat banjir pada hujung 2021 dan bah luar jangka pada Februari lalu.
Pengarahnya, Mohd. Hanifa Awang Su berkata, bantuan sebanyak RM2.8 juta itu telah diagihkan kepada mereka yang terlibat sehingga awal bulan ini menerusi Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan.
Menurutnya, mengikut bancian LPP, kebanyakan tanaman diusahakan petani musnah dalam musibah pada hujung tahun lalu manakala penanam cili komersial paling ramai terkesan akibat banjir pada Februari lalu.
“Petani di PPK Machang didapati paling ramai terkesan dan LPP telah menyalurkan bantuan berjumlah RM 402,000 untuk membeli input pertanian.
“PPK Bukit Awang di sini pula menerima peruntukan bantuan sebanyak RM278,000 dan ia telah disalurkan ke akaun petani terbabit sebagai modal pengurusan semula tanaman padi musim ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Di Bawah Skim Pemilikan Jentera Kecil Dan Sederhana Serta Input di PPK Bukit Awang di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Mohd. Hanifa menyampaikan geran bantuan padanan kepada 32 usahawan tani dan bantuan pembangunan semula agromakanan kepada 34 penanam cili di PPK berkenaan membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM278,000.
Mengulas lanjut, menurutnya, bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan bebanan kerugian yang ditanggung penanam cili yang mengusahakan ladang kontrak dengan LPP Bukit Awang sebagai pembekal utama bahan mentah sos cili negara.
Menurutnya, bancian tepat berkait kerosakan cili dijalankan sebelum menyalurkan bantuan yang diperlukan petani dalam usaha memastikan bekalan sebanyak 124,000 kilogram kepada syarikat pemerosesan cili tidak tergendala.
Tambahnya, seramai 120 ahli PPK Bukit Awang ketika ini aktif mengusahakan tanaman cili kulai di kawasan seluas 40 hektar dengan strategi pemasaran yang kukuh yang boleh dicontohi PPK lain di Kelantan. – KOSMO! ONLINE