MIRI – Seorang pesara tentera tekad mahu kembali sihat agar dapat menyara keluarga selepas disahkan menghidap penyakit kencing manis dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Koperal Zakaria Ismail, 54, berkata, dia mahu mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk keperluan anak lelaki yang sedang menyambung pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Saya disahkan menghidap kencing manis selepas melakukan ujian kesihatan pada 14 Februari lalu. Pada hari sama juga saya diarahkan untuk melakukan dialisis kerana kandungan protein dalam buah pinggang terlalu tinggi.
“Sejak itu, saya perlu melakukan rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu sehingga menyukarkan untuk bekerja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Zakaria yang berasal dari Baling, Kedah memberitahu, sebelum ini, dia bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat pengawal keselamatan selepas bersara pada tahun 2010, namun terpaksa berhenti kerana pandemik Covid-19 sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut.
“Selepas tidak lagi mampu bekerja, kami sekeluarga bergantung dengan wang pencen yang tidak seberapa memandangkan perlu membayar sewa rumah dan menanggung kos rawatan isteri yang dijangkiti penyakit urat saraf mata (glaukoma).
“Penglihatan isteri juga semakin merosot dan perlu menerima suntikan. Harga bagi suntikan itu adalah RM650 dan dia memerlukannya dua kali dalam sebulan,” katanya.
Menurut pesara Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja itu, dia dan isteri terpaksa bergantung dengan perkhidmatan e-hailing untuk berulang-alik ke Hospital Miri dengan kos RM48 sehari atau RM144 seminggu.
“Mujur anak lelaki yang bekerja di Kuala Lumpur membantu selain sumbangan daripada pihak yang prihatin dengan nasib kami. Saya dimaklumkan oleh doktor bahawa penyakit ini mengambil masa untuk diubati antara lima dan enam tahun untuk sihat dan kembali bekerja.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) juga ada memberikan sumbangan bagi meringankan beban kami. Selepas ini saya akan membuat permohonan zakat pula,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Zakaria yang bernombor 7064479110 atau menghubunginya di talian 013-838 1047.