fbpx

EPL: Pep Guardiola akui Manchester City hampir tanggung aib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain City meraikan jaringan penyamaan ketika mereka terikat 3-3 pada aksi menentang Newcastle awal pagi semalam. – AFP

NEWCASTLE – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan, Newcastle United telah membuatkan mereka sedar mengenai kedudukan mereka musim ini selepas terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat keputusan seri 3-3 awal pagi semalam.

Juara Liga Perdana Inggeris itu hampir berdepan kekalahan pertama musim ini selepas ke­lebihan menerusi gol pembukaan dihasilkan oleh Ilkay Gundogan dipadamkan oleh Miguel Almiron, Callum Wilson dan Kieran Trippier di St. James Park.

Bagaimanapun, mereka ber­nasib baik apabila dua gol menerusi Erling Haaland dan Bernardo Silva membolehkan mereka pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.

Persembahan yang agak longlai dipamerkan oleh pasukannya memaksa Guardiola menghamburkan pujian kepada pasukan lawan yang turun bermain dengan sepenuh hati dan mahu mendapatkan kemena­ngan.

“Newcastle telah menunjukkan di mana kami berada. Ia adalah satu perlawanan yang menakjubkan. Kami bermula dengan baik sebelum hilang momentum. Ketika dalam permai­nan terbuka, mereka ternyata lebih baik.

“Kami sepatutnya perlu mengawal bola dengan baik ketika berada di kawasan mereka. Bagaimanapun, saya suka me­ngenai atmosfera selepas perlawanan, ini adalah bola sepak sebenar,” katanya.

Guardiola turut memuji rakan sejawatnya, Eddie Howe yang berjaya membina Newcastle dalam tempoh yang singkat dan sedar bahawa The Magpies tidak boleh dipandang mudah dalam persaingan merebut kejuaraan liga musim ini.

“Kami sememangnya tidak layak untuk menang aksi kali ini. Newcastle akan menjadi sebuah pasukan yang sukar ditentang, itu sudah pasti. Kami terpaksa berjuang sehingga penghujung perlawanan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI