fbpx

Pantau gangguan seksual di alam maya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Kosmo! baru-baru ini melaporkan Dewan Negara sebulat ­suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 dalam menyediakan persekitaran selamat khususnya kepada golongan wanita dan kanak-kanak.

RUU itu bertujuan menghapuskan budaya menormalisasikan gangguan seksual dalam kalangan masyarakat kerana ia boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk secara maya.

Remaja dan kanak-kanak turut terdedah disebabkan penggunaan peranti pintar semakin meningkat dalam memenuhi keperluan semasa. Gangguan seksual di alam maya boleh berlaku apabila sebilangan mereka berkenalan melalui media sosial, online dating atau aplikasi temujanji dalam talian.

Timbalan Dekan Penyelidikan (Penyelidikan&Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Hanina H. Hamsan berkata, remaja dan kanak-kanak merupakan golongan paling berisiko menerima impak negatif hasil penggunaan te­lefon pintar tanpa pemantauan.

“Pada usia 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak melalui fasa pembentukan aktif perkembangan sosial, emosi dan psikomotor. Mereka cenderung meniru tingkah laku orang dewasa. Apa yang didengar dan dilihat berupaya memberi pengalaman dan pembe­lajaran untuk mereka tiru.

“Kanak-kanak juga belum dapat menilai secara konkrit. Mi­salnya, ada babak yang tidak sepatutnya dilihat tetapi dilakonkan dalam bentuk animasi,” katanya.

Menurutnya, bagi remaja, fasa itu begitu kritikal kerana perkembangan biologi dan perubahan fizikal melibatkan organ serta hormon reproduktif.

“Ketika ini, kematangan berfikir belum berlaku. Perkara pertama yang ingin tahu adalah mengapa perubahan berlaku dan apa yang terjadi kerana mula merasai kelainan dari segi pe­rasaan dan emosi.

“Remaja lebih terbuka untuk bertanya kepada ibu bapa atau orang dewasa. Jika tak dipeduli, mereka mencari sendiri maklumat di internet,” katanya.

Beliau mengemukakan kes yang berlaku ketika membuat kajian tingkah laku seksual dan reproduktif pada 2012.

Jelasnya, faktor utama remaja perempuan terbabit seks luar nikah adalah menerusi video lucah yang diakses dan disimpan dalam telefon pintar hingga ke­tagih.

“Ada juga kes kanak-kanak dan remaja melayari maklumat berkaitan perubahan biologi menerusi internet secara berduaan antara lelaki dan perempuan sehingga terlanjur.

“Itu kajian 10 tahun lalu, sekarang cabarannya lebih lagi. Im­paknya, remaja terdedah kepada ketagihan tonton video lucah dan berisiko kepada tingkah laku seks luar nikah,” katanya.

Beliau menegaskan, usikan atau ejekan seksual adalah gangguan seksual, manakala bercinta dalam kalangan remaja bukan gangguan seksual, tetapi lebih kepada keinginan akibat perubahan hormon reproduktif.

“Untuk kanak-kanak, ia tingkah laku meniru perbuatan orang dewasa. Jika tak ditangani bermain cinta boleh membawa banyak kesan negatif seperti kemurungan dan cubaan bunuh diri.

“Gangguan seksual dalam talian biasa dilakukan secara terancang. Ia berpunca sama ada akibat ketagihan seks, dendam, cubaan memikat dan niat yang lain menerusi aplikasi.

“Oleh itu, penting bagi ibu bapa cakna apabila memberi telefon kepada anak dan sentiasa waspada dengan mengawal kandungan program/aplikasi dan tahu dengan siapa anak berhubung,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI