SINGAPURA – Komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) Singapura kelmarin menyambut baik rancangan pemerintah membenarkan sek sesama lelaki tetapi berkata, rancangan untuk merombak perlembagaan bagi menghalang definisi perkahwinan tradisional daripada dicabar di mahkamah akan menggalakkan lagi ketidaksamaan.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan Ahad lalu bahawa Singapura akan memansuhkan undang-undang era penjajah iaitu Seksyen 377A yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun terhadap kesalahan seks sesama lelaki.
Undang-undang itu bagaimanapun tidak meliputi seks antara wanita.
Pejuang hak gay telah lama mengatakan bahawa Seksyen 377A bertentangan dengan budaya rancak Singapura, namun gagal mencabar undang-undang itu di mahkamah.
“Pemansuhan 377A akan membuatkan saya berasa lebih diterima di Singapura kerana negara ini tidak lagi menganggap saya sebagai penjenayah,” kata Roy Tan.
Dia merupakan antara aktivis LGBTQ yang gagal mencabar Seksyen 377A di mahkamah.
Di sebalik pemansuhan itu, pengumuman Hsien Loong turut melarang perkahwinan sesama lelaki dan sejenis. Bagi menghalang definisi perkahwinan tradisional iaitu antara lelaki dan wanita dicabar di mahkamah, beliau berkata, kerajaan akan meminda perlembagaan.
Pindaan tersebut adalah bertujuan supaya hak mentakrifkan perkahwinan berada di bawah kuasa Parlimen dan bukannya mahkamah.
“Hakim mentafsir dan menggunakan undang-undang. Mereka tidak mempunyai kepakaran atau mandat untuk menyelesaikan persoalan politik, mahupun peraturan mengenai norma dan nilai sosial,” kata Hsien Loong.
Reaksi terhadap kenyataan Hsien Loong mengenai pemansuhan undang-undang itu adalah bercampur baur dengan sebilangan memujinya sebagai ‘langkah berani’, manakala yang lain berkata, mereka sedih dengan keputusan tersebut.
Langkan meminda perlembagaan itu dijangka tidak berdepan halangan kerana parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mempunyai majoriti lebih dua pertiga di Parlimen.
Dalam pada itu, komuniti LGBTQ dalam kenyataan yang ditandatangani lebih 20 kumpulan berkenaan berkata, mereka menentang sebarang perubahan seterusnya terhadap undang-undang dan perlembagaan bagi melindungi definisi perkahwinan tradisional kerana perbuatan itu akan menggalakkan layanan berat sebelah.
Tan berkata, tindakan melindungi definisi perkahwinan sedia ada adalah langkah mundur. – AFP