fbpx

KUSKOP tubuh Federasi Koperasi Sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh meninjau tapak jualan karnival itu di SMK Permatang, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan Federasi Koperasi Sekolah bagi memperkasakan fungsi dan pergerakan koperasi itu di seluruh negara.

Federasi baharu di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu akan dianggotai sebanyak 2,463 koperasi sekolah rendah dan menengah sedia ada.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, federasi itu akan disertai jawatan kuasa khas dengan keahlian seramai 1.9 juta orang.

Katanya, KUSKOP akan menyediakan peruntukan bagi membantu koperasi sekolah menaik taraf dan memperluaskan aktiviti masing-masing.

“Kita mahu menggabungkan semua koperasi itu di bawah satu bumbung sekali gus memantapkan lagi peranannya.

“Selain pelaksanaan program, federasi itu dapat melatih pelajar sekolah meningkatkan semangat keusahawanan termasuk dalam bidang reka cipta,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas merasmikan Kuiz Koperasi dan Karnival Keusahawanan Kuala Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang di sini, hari ini.

Jelas Noh, Federasi Koperasi Sekolah itu akan dilancarkan secara rasmi dalam tempoh terdekat.

“Federasi itu di bawah SKM sepenuhnya namun kita juga boleh berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) nanti.

“Para guru sekolah juga akan memainkan peranan penting untuk terus menyokong fungsi koperasi sekolah,” ujarnya.

Tambah beliau, ia sekali gus merupakan federasi ketujuh ditubuhkan KUSKOP setakat ini dengan sebelum ini antaranya sektor peruncitan, kesihatan, pelancongan dan pertanian.

“Setiap federasi itu mempunyai peranan berbeza namun memfokuskan matlamat sama iaitu memperkasa koperasi yang giat menjalankan aktiviti di bawah sektor ekonomi masing-masing,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI