fbpx

Konsert Rhythm of Legends sasar kutipan RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RHYTHM of Legends menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol diiringi OTM. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu benar-benar memberi tamparan dan impak mendalam buat semua.

Tidak setakat meruntuhkan ekonomi dan kehidupan rakyat di negara ini, rata-rata ramai terjejas hingga ada yang dibuang kerja dan hidup menderita.

Belum habis dengan pandemik Covid-19, banjir besar yang melanda di beberapa negeri pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini cukup meresahkan jiwa dan raga.

Menyedari dan bersimpati dengan nasib yang menimpa, syarikat pengurusan acara CS Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia (DFM) tampil menganjurkan persembahan amal Rhythm of Legends yang bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 29 dan 30 Oktober depan.

Menariknya, konsert amal selama dua hari itu turut menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.

HATTAN

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama konsert Rhythm of Legends diadakan adalah untuk mengutip dana seterusnya disalurkan kepada enam buah NGO, tabung amal, banjir, golongan asnaf dan artis veteran.

“Konsert ini adalah persembahan amal yang mana kita menyasar untuk kutip dana sebanyak RM3 juta.

“Kami berkolaborasi dengan DFM dan menyasarkan 50 peratus hasil kutipan konsert disalurkan kepada enam badan NGO, tabung amal, tabung banjir dan asnaf.

“Tidak dilupakan juga, golongan artis veteran yang terkesan sama. Kita tahu, mereka ini juga antara yang turut melalui fasa kesukaran sama.

“Justeru, kita tidak mahu melupakan mereka. Jadi, dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki dengan banyak pihak.

“Pendek kata, sumbangan yang bakal disalurkan adalah menyeluruh,” katanya.

ASMIDAR menjadi antara artis yang menjayakan konsert Rhythm of Legends.

Memukau, berbeza

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Marinatasha yang juga pengarah program bagi konsert Rhythm of Legends mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesudian barisan artis menerima tawaran bagi menjayakan persembahan amal itu.

“Sebelum ini ada ramai artis lain juga yang kami jemput untuk terbabit sama, tapi yang tersenarai ini saja yang berkelapangan.

“Dari segi persembahan, pihak penganjur telah menetapkan konsep yang mana persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (Istana Budaya) bawah pimpinan Yazid Zakaria.

“Jadi, selain daripada lagu-lagu popular daripada koleksi album artis itu sendiri, mereka turut akan menyampaikan lagu-lagu popular artis terkemuka lain dengan gabungan elemen alat muzik moden serta tradisional yang pastinya akan memberi suatu kelainan kepada penonton,” katanya.

Tambah Marinatasha, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan atau syarikat korporat dan orang perseorangan yang ingin turut menyumbang serta beramal.

“Kepada pembeli tiket nanti, mereka bukan saja boleh berhibur tapi juga beramal.

“Justeru, kami turut mengalu-alukan dan membuka kepada mana-mana badan korporat dan orang perseorangan jika mahu menaja dan sama-sama menyumbang,” ujarnya.

Tiket konsert Rhythm Of Legends boleh dibeli secara online menerusi www.myticket.asia sejak 10 Ogos lalu.

Harga-harga tiket tiket dijual mengikut tempat duduk iaitu Meet & Greet sebanyak RM979, Diamond (RM879), Gold (RM679), Silver (RM579), Bronze (RM479), Premium 1 (RM379), Premium 2 (RM279) dan Premium 3 (RM179).

ZAMANI
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI