fbpx

Kapal tangki Panama, bot tunda Singapura ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal tangki berdaftar dari Panama dan sebuah bot tunda berdaftar di Singapura yang ditahan selepas melakukan kesalahan yang berbeza ketika berada di perairan Johor Timur, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki dan sebuah bot tunda asing berjaya ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan yang berbeza ketika berada di perairan Johor Timur di sini semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal tangki berdaftar di Panama ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada pukul 12.30 tengah hari di kedudukan 16.6 batu nautika (bn) timur laut Tanjung Penawar.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh. Kapal berkenaan dikendalikan 26 kru lelaki termasuk nakhoda warga Ukraine dan Georgia berusia 21 hingga 67 tahun.

“Berikutan itu kapal berkenaan didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran / kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952. Bagi Seksyen 72(1) OPS 1952 boleh didenda sehingga RM 100,000,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya sebuah bot tunda berdaftar dari Singapura pula ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 17.7 bn timur laut Tanjung Penawar pada pukul 2.00 petang hari yang sama.

Katanya, bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 72(1) OPS 1952 kerana bilangan kru kapal tidak mencukupi seperti di dalam Safe Manning Certificate dan Seksyen 477(2) OPS 1952 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan.

“Bot berkenaan dikendalikan enam lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 29 hingga 51 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagi kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih 10 hari atau kedua-duanya sekali,”katanya lagi.

Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada pemilik, pengusaha perkapalan serta nakhoda kapal atau bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi kerana tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI