IPOH – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam hanyalah sekadar memberi taklimat berkenaan status gerak kerja parti berkenaan.
Mohamad ketika ditanya pemberita berkata, adalah menjadi rutin untuknya memberi taklimat status gerak kerja parti setiap minggu kepada Perdana Menteri.
“Saya beri taklimat. Semalam saya balik dari Melaka, dua hari lepas di Johor,” jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Negeri Perak di Hotel Casuarina, Meru di sini semalam.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pertemuan antara Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Menara Dato’ Onn, petang semalam, Mohamad berkata ia hanyalah pertemuan biasa.
Mohamad turut mempersoalkan mengapa setiap kali pimpinan UMNO mengadakan perjumpaan atau berkumpul, ramai pihak membuat pelbagai spekulasi.
“UMNO ini, kita tidak boleh berjumpa, bila berjumpa orang membuat spekulasi macam-macam, tak boleh pula kami duduk bersama orang cemburu hati dengan kita. Apa sebab. Kenapa?
“Parti lain pun berkumpul juga hari-hari tidak ada pun yang tanya, bila UMNO berkumpul adalah kata itu, ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE