fbpx

Jepun mahu tingkat keupayaan peluru berpandu jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Unit pelancar peluru berpandu permukaan-ke-kapal Type 12 dipamerkan kepada anggota tentera 18 negara ketika Simposium Pemimpin Amfibia Pasifik 2022 di wilayah Chiba pada 16 Jun lalu. – AFP

TOKYO – Kerajaan Jepun mahu meningkatkan keupayaan peluru berpandu jarak jauh negara berkenaan kepada sekurang-kurangnya 1,000 kilometer serta mengubah suai misil sedia ada supaya  dapat dilancarkan daripada  kapal dan pesawat bagi menyerang sasaran di permukaan Bumi, lapor laman berita RT kelmarin.

Menurut akhbar Yomiuri, versi  ditambah baik bagi peluru berpandu Type 12 milik Tokyo itu dijangka boleh mula digunakan pada 2024,  dua tahun lebih awal berbanding rancangan asal.

Tambah laporan tersebut, Tokyo juga mahukan lebih 1,000 peluru berpandu ditempatkan di seluruh Kepulauan Nansei.

Pelan tersebut dikatakan adalah sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai  inisiatif ‘Darurat Taiwan’.

Pada Disember tahun  lalu, tentera Jepun yang dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Kendiri (SDF) dan tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bersetuju untuk membina markas serangan di Kepulauan Nansei sekiranya tercetusnya sebarang ‘darurat’ antara Taipei dan Beijing.

Beberapa pegawai Tokyo se­perti yang dipetik agensi berita Kyodo News ketika itu berkata, sekiranya menjadi kenyataan, rancangan tersebut akan menyaksikan pasukan Marin AS ditempatkan di pangkalan serangan sementara di Kepulauan Nansei.

SDF pada masa yang sama, akan menyediakan sokongan dari segi askar tambahan sekiranya ancaman ketenteraan terhadap Taiwan berlaku.

Sementara itu,  bagi mewajarkan keupayaan serangan balas seperti itu, parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik  menyatakan bahawa pihaknya mahu menyemak semula strategi pertahanan negara menjelang hujung tahun ini.

Ia akan memberi tumpuan kepada agenda sama ada Jepun boleh melancarkan serangan awal terhadap pangkalan-pangkalan musuh.

Perkara itu bagaimanapun merupakan isu sensitif memandangkan Perlembagaan Jepun  adalah berorientasikan pertahanan yang secara jelas menolak peperangan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI