LONDON – Lebih 1 trilion liter air dibocorkan oleh syarikat-syarikat pembekal air di England dan Wales pada tahun lalu, demikian menurut perangkaan pihak berkuasa kawal selia bekalan air, Ofswat seperti yang dilaporkan laman berita MailOnline kelmarin.
Sekitar 2,923 juta liter sehari hilang dalam tahun 2021, dengan 2,752 juta liter air didapati bocor di England, manakala 171.3 juta liter kebocoran lain berlaku di Wales.
Jumlah itu bersamaan dengan kehilangan 1.06 trilion liter air pada tahun berkenaan, demikian menurut analisis Ofwat terhadap laporan tahunan syarikat 2021/2022.
Angka membimbangkan itu disiarkan ketika 24 juta penduduk berdepan larangan penggunaan hos paip, dengan Thames Water muncul syarikat bekalan air tempatan paling baharu mengumumkan larangan serupa kepada 15 juta pelanggannya mulai 24 Ogos ini.
Syarikat-syarikat air Britain menjadi tumpuan kerana membazir berbilion-bilion liter air setiap hari disebabkan kebocoran paip ketika banyak kawasan di Britain dilanda kemarau buruk pada tahun ini.
Thames Water membocorkan paling banyak air dengan kehilangan 217 bilion liter air sepanjang tahun lalu.
Severn Trent Water mengikuti di belakang dengan 161 bilion liter air bocor sepanjang tahun diikuti United Utilities dengan 151 bilion liter, Yorkshire Water (103 bilion liter) dan Northumbrian Water (69 bilion liter).
Pada bulan ini, Thames Water mengaku membiarkan hampir satu perempat daripada semua air yang dibekalkan, bocor melalui retakan paip.
“Kami perlu ‘menjadi lebih cekap’ seperti orang Jerman, yang hanya kehilangan sekitar 5 peratus daripada semua air akibat kebocoran, berbanding 20 peratus di Britain,” kata pengarah strategi firma berkenaan.
Kerajaan Britain mahu kebocoran itu dikurangkan kepada 10 peratus menjelang 2050. – Agensi